Bateriku.com

Memacu masa hadapan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia

Di kala kesedaran terhadap tenaga hijau mula memesat dalam kalangan pengguna yang menyebabkan mereka beralih kepada kenderaan elektrik (EV), hakikatnya ia bukanlah faktor utama kemajuan bidang automotif ini, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Begitu juga dengan pengecualian cukai jualan, duti import dan duti eksais bagi kenderaan elektrik seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, ia juga bukan penentu kepada peralihan minat pengguna kenderaan konvensional kepada kenderaan elektrik.

Isu utama kepada kenderaan elektrik di Malaysia adalah kekurangan stesen pengecasan.

Tidak kira sebanyak masa jenama dan model kenderaan elektrik yang dibawa masuk ke negara ini, ia seolah-olah ‘tiada fungsi’ jika stesen pengecasan masih boleh ‘dikira dengan jari’ dan tidak meliputi lebih banyak kawasan, terutama di luar bandar.

Hari ini, kebanyakan stesen pengecasan boleh dijumpai di stesen minyak dan pusat beli-belah. Satu cara yang mudah juga adalah dengan memasang poin pengecasan elektrik di rumah, namun kos pemasangannya tidaklah semurah yang disangka.

Cabaran dan isu kepada stesen pengecasan kenderaan elektrik ini akan timbul kepada pengguna sekiranya pemanduan jarak jauh, dimana hanya sedikit sahaja bilangan stesen pengecasan, atau mungkin tidak ada langsung, di sesetengah negeri, seperti Kelantan dan Sabah.

Halnya satu sahaja, tanpa sokongan stesen pengecasan, permintaan kepada kenderaan elektrik di negara ini pastinya semakin hari semakin berkurangan. Tidak kurang pentingnya juga bekalan kenderaan elektrik secara berterusan di Malaysia amat diperlukan supaya dapat memenuhi permintaan pengguna.

Untuk memenuhi hasrat berkenaan, pengeluar kereta nasional, Proton pada baru-baru ini bekerjasama dengan sebuah syarikat kereta elektrik untuk menjual kereta elektrik bagi pasaran Malaysia dan Thailand.Proton Edar akan menjadi pengedar dan pengimport sah bagi rantau ASEAN.

Kerjasama antara Proton dan Geely, yang memegang 49.9% kepentingan di dalam Proton akan diteruskan, dengan memberi fokus kepada pengalaman syarikat pengeluar kenderaan dari China itu dalam industri EV, sekaligus membantu Proton berkembang di rantau ini. Hala tuju EV di Malaysia boleh dicapai dengan faktor-faktor yang telah dinyatakan di atas.

Adalah penting untuk industri EV tempatan berkembang seiring dengan kemajuan dunia, atau paling tidak di rantau ASEAN buat beberapa tahun pertama ini.

Random Image