/NEWS

Bateriku.com : Kegigihan Azarol

Artikel ini telah diterbitkan pertama kali di Utusan.com.my, pada 20 Julai 2020
MINAT mendalam terhadap bidang perniagaan sejak usia muda menjadi pendorong Pe­ngasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku (M) Sdn. Bhd., Azarol Faizi menceburi ‘arena’ penuh mencabar ini.

Walaupun terjun ke bidang itu secara tidak sengaja, Azarol, 47, pada awalnya bercita-cita menjadi juruterbang dek kerana kagum melihat kegagahan jentera Boeing 747 membelah awan.

Inspirasi tersebut terus menjadi pemangkin semangat buat anak jati Bota Kiri, Perak itu untuk membawa Bateriku.Com terbang lebih tinggi.

“Sebenarnya macam keluarga lain, emak nak saya sambung belajar dalam bidang perubatan tapi itu bukan minat saya. Memandangkan saya rasa tak boleh kejar cita-cita juruterbang sebab masalah rabun, jadi saya ambil kursus Kejuruteraan Aeronautik, asalkan dapat terbang."

Azarol Faizi
“Banyak pengetahuan baharu yang saya dapat terutama membabitkan reka bentuk ­aeronautik tapi memang susah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam, mengimbau kembali kena­ngan zaman belajar.

Selepas menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aero­­nautik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1995, Azarol memulakan kerjaya bersama sebuah syarikat struktur besi di Senawang sebelum ditawarkan jawatan sebagai ­pengurus projek di salah sebuah syarikat industri berat dari Korea Selatan.

“Di situlah saya mula belajar berniaga sebab waktu itu saya diberi tugas untuk menjaga industri berat di Malaysia dan pe­langgan terdiri daripada banyak syarikat besar termasuk Petronas serta Proton.

“Saya nekad berhenti kerja pada September 2005, usia 32 tahun dan tubuhkan syarikat sendiri iaitu Astra Simfoni Sdn. Bhd. seterusnya menjadi syarikat pembekal peralatan tulen (OEM) kepada beberapa syarikat kenderaan iaitu Proton, Mitsubishi dan Perodua,” katanya.

Memasuki usia 10 tahun dalam industri itu, beliau me­nyedari perubahan pantas dalam pengalaman pengguna terutama membabitkan evolusi teknologi menjadi pemangkin kepada Azarol untuk beralih kepada segmen perniagaan-ke-pelanggan (B2C) menerusi Bateriku.Com pada 2014.

“Waktu itu banyak syarikat start-up ditubuhkan dengan pelbagai bantuan kewangan ditawarkan tapi saya memutuskan untuk mengambil ‘jalan lain’ iaitu bermula dari bawah kerana saya percaya dengan kuasa pengguna.

“Alhamdulillah, usaha selama enam tahun berhasil kerana kami telah memberi perkhidmatan kepada lebih 400,000 ­pelanggan dan akan terus ber­usaha berkembang menjadi syarikat digital terbaik untuk pengguna jalan raya,” katanya.

Atas dasar itulah, bermula tahun ini, Azarol membuka sebuah lagi syarikat iaitu Bplaz (M) Sdn. Bhd., sebuah platform dalam talian menggabungkan bukan sahaja sektor penghantaran ­bateri tetapi industri bantuan jalan raya secara keseluruhan.

“Saya lihat Bplaz ini sebagai satu platform yang menyediakan segalanya buat pengguna jalan raya daripada khidmat trak tunda sehinggalah kepada sekecil-kecil perkara seperti penghantaran minyak petrol,” katanya.
logo-horz-footer.png

Bateriku aims to transform the automotive auto - assist industry by affectionately dominating the pulse of its’ business – Bateriku’s Customer’s Experience. Our edge rests in our 14 years of hands-on experience within the service industry and since day 1, we have been constantly and continuously finding ways to improve each and every aspect of our customer’s journey.

Copyright © 2021 Bateriku.com. All Rights Reserved.

Search